Monday, November 05, 2007

Nikmat Illahi

Semakin meningkat umur semakin membuatkan aku cekal dan tabah. Jika dulu aku sering memikirkan sesuatu terlalu mendalam dengan mengambil kira semua angle sekarang aku masih tetapi tidak lagi kalut jika ianya tidak hadir pada waktu itu. Aku hanya akan mengendalikannya jika waktu itu perlu ditangani ketika itu.

Hari-hari yang kulalui lebih mudah bila aku tahu apa yang aku mahu dan apa yang patut kudahului. Jika dulu aku berada diantara celahan teman, kerja dan anak-anak dengan penuh kekalutan. Kini anak-anak menjadi priority, kemudian kerja dan akhirnya mereka yang memerlukanku.

Seberapa pentingnya mereka dalam hidup tapi penting lagi mendahulukan diriku dalam apa jua. Aku tidak mahu diganggu oleh fikiran yang tak menentu. Kesannya kedalam hidupku akan menjejaskan emosi harianku. Kini semua berjalan lancar. Mereka yang masih tidak lagi memahami aku, kubiarkan mereka mengambil masa untuk menyelesaikan andaian mereka dan biarlah ianya berlalu.

Jika mereka datang semula dan memerlukan aku atas dasar tertentu maka begitu juga layananku. Setiap orang ada harga diri, maruah dan keinginan. Yang selama ini aku ketepi kan hanya kerana satu hubungan. Tapi kini aku ingin menilai sebuah hubungan itu atas dasar keikhlasan diriku. Aku tidak ingin lagi melakukannya kerana aku terpaksa ataupun aku terhutang budi atau untuk apa alasan sekalipun.

Aku ingin tiap sesuatu itu terdorong dari niat yang ikhlas dari hati dan jiwa ku. Aku ingin tuhan juga menolongku dalam setiap waktu aku memerlukannya. Mungkin pada seseorang atau individu aku terlalu mementingkan harga diri dan maruah, tetapi bukankan itu yang harus aku pertahankan.

Ikhlas juga mempunyai erti dan makna yang cukup luas untuk ditelusi. Buat ketika ini biarlah hanya aku saja yang tahu apakah yang ingin ku harapkan, ketelusuri dan aku insafi.

Detik-detik yang berlalu kukutip lagi malam tadi dan cuba untuk ku halusi dan analisi secara terperinci. Namun aku tak jumpa dimana kunci atau pun nodanya. Selama ini aku cuma memberi dan tidak ingin meminta kerana keikhlasan pemberian itu bukan untuk ku raih semula faedahnya dari seseorang maupun individu. Aku ingin merasakan nikmatnya dan kepuasan pada diriku sendiri.

Perjalanan harian banyak memberiku pengalaman yang amat bermakna untuk meneliti kehidupan dan mengapa ianya terjadi sebegitu rupa. Kini aku pasrah, aku tidak lagi mengejar awan nan tinggi, menanti pelangi nan indah kerana ia pasti hadir dalam mimpi jikaku inginkan kehadirannya menemaniku

Aku tidak memerlukan mimpi yang indah kerana hari yang indah sentiasa menemaniku. Aku tidak mahu menunggu sepi kerana keriangan berada didalam diri. Aku hanya perlu mengikhlaskan diri pada setiap situasi maupun dugaan yang diberi kerana mensyukuri nikmatnya menjadikan ianya lebih asyik dan manis untuk dikecapi.

Malam kau hadir mendinginkan hatiku yang lara, marah dan tercela. Namun ia umpama tisian embun dipagi hari merona pagi yang disinar mentari. Biar hawanya panas namun redupnya pagi tetap dinanti. Setiap hari satu rona pergi memberi berbagai tinggalan kemanisan hidup ini.

Aku tidak lagi rindukan sesiapa hanya kurindukan syahdunya rasa bila sujud kehadratnya. Meminta pada yang sudi memberi, bersyukur pada yang sentiasa mendengar, menghiba pada yang sentiasa ada memerhatikan, ketawa padanya membukakan mata hatiku menerima anugerahnya.

No comments: